Khamis, 6 Mac 2014

PERALIHAN KUASA TANDA BERMULANYA ERA BARU PEMERINTAHAN NEGERI SARAWAK

                 Pelantikan Tan Sri Adenan Satem, 68, sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu dijangka dapat memberi kesinambungan dan menyemarakkan lagi usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) membangunkan Sarawak. Kerajaan Persekutuan menyokong pimpinan baharu Sarawak dan yakin Adenan dapat meneruskan segala yang telah dirancang serta melonjakkan pembangunan Sarawak ke tahap yang lebih membanggakan. Adenan, Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-Tugas Khas), mempunyai pengalaman luas dalam kerajaan dan politik serta dapat diterima anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan semua parti komponen BN. Dengan pengalaman luas dan sokongan semua pihak, Adenan akan dapat meneruskan kecemerlangan Sarawak sebagaimana di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta memastikan Sarawak terus menjadi benteng kuat BN.
               Pemilihan Adenan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang ke-5 tidak mengejutkan pemerhati politik Sarawak kerana selain pernah hampir menggantikan Abdul Taib pada 2006, beliau juga merupakan seorang strategis politik kepada Ketua Menteri selama 33 tahun. Beliau adalah tulang belakang kekuatan politik Abdul Taib sebagaimana timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang mendapat bantuan daripada Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Bagi yang tidak mengenali Adenan dengan rapat, beliau sering disalah anggap sebagai sombong kerana raut mukanya yang serius. Sedangkan beliau sebenarnya sangat fokus apabila membuat kerja dan wajah yang serius itu menunjukkan otaknya ligat berfikir. Disifatkan sebagai "low profile" dan tidak banyak cakap, Adenan bukanlah pemimpin yang menunjuk-nunjuk sehingga ada kalanya beliau seperti keseorangan dalam dunia politik. Walaupun tidak mempunyai penyokong yang ramai sebagaimana Abang Johari dan Awang Tengah, taring politik Adenan amat digeruni pembangkang.
              
                Cubaan pembangkang untuk mengganyang BN dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dalam isu NCR sentiasa menemui jalan buntu kerana beliau yang merupakan pakar undang-undang dan banyak membaca sentiasa bersedia dengan fakta dan angka. Adenan juga sering turun padang bagi menyelesaikan isu tanah NCR dengan memberi penjelasan di peringkat kampung dan jika masih ada yang tidak berpuas hati, majlis dialog akan diadakan. Beliau seorang yang bijak mengawal emosi malah tetap ceria walaupun berdepan dengan masalah besar.Adenan juga bijak berdiplomasi walaupun hanya dengan wartawan. Sikap itu dikagumi kerana layanan ahli politik kepada wartawan di Sarawak tidak menyamai layanan yang diterima rakan-rakan sejawatan mereka di Semenanjung.Tanyalah apa sahaja isu, dia tidak akan menengking. Kalau dia kurang gemar, jawapannya bernada sarkastik. Tetapi kalau muka dia masam, itu jangan dikacau.

                  Dalam aspek politik pula, Adenan diiktiraf ramai sebagai individu belakang tabir yang bekerja keras mendamaikan pergolakan dalaman parti komponen BN Sarawak seperti krisis Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).Lantaran itu, banyak pihak melihat pelantikan Adenan dibuat di atas faktor pendamai yang dimilikinya. Itu kelebihan Adenan walaupun sedikit uzur. Adenan bukan sahaja berdepan tugas berat untuk menjaga perpaduan dalam PBB malah perlu menyelesaikan masalah dalaman parti komponen BN Sarawak iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sebelum pilihan raya negeri akan datang. Justeru, pelantikan Adenan perlu diterima secara positif oleh semua pihak. Kematangan politik dan kerjasama penuh amat diperlukan kerana peralihan kuasa tidak sepatutnya menjadi bom jangka yang akan meranapkan struktur politik nasional. Hormatilah pengorbanan Adenan yang memikul tanggungjawab besar walaupun beliau sendiri mempunyai masalah kesihatan. Tahniah Tan Sri Adenan, selamat bertugas.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan